Sarawak–Jiangsu perhebat kerjasama, Abang Johari mulakan lawatan kerja ke China

NANJING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg memulakan lawatan kerja rasmi di China dengan menghadiri sesi dialog bersama Kerajaan Wilayah Jiangsu di Xikang Guesthouse, Nanjing hari ini.

Ketibaan beliau bersama delegasi pada jam 11.15 pagi waktu tempatan disambut oleh Timbalan Gabenor Zhao Jianjun yang mewakili Gabenor Liu Xiaotao.

Mengiringi Premier Sarawak dalam sesi dialog tersebut ialah Timbalan Menteri Utiliti Sarawak (Sarawak Energy Berhad dan PETROS) Datuk Ibrahim Baki, Pengerusi PETROS Tan Sri Datuk Amar (Dr) Hamid Bugo, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETROS Dato Janin Girie serta delegasi PETROS yang lain.

Sesi dialog itu adalah susulan daripada Perjanjian Kerjasama Strategik di antara Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) dan China Jiangsu International Economic and Technical Cooperation Group Ltd (CJI) bagi memacu pembangunan Hab Rendah Karbon Kuching (KLCH) iaitu satu inisiatif utama di bawah Pelan Induk Gas Sarawak yang bertujuan merangsang pertumbuhan industri mampan dan bernilai tinggi di negeri itu.

KLCH merupakan inisiatif transformasi yang mampu menjadikan dasar rendah karbon Sarawak sebagai peluang ekonomi baharu untuk rakyat.

Selain itu, KLCH merupakan taman industri generasi baharu yang menggabungkan pembuatan berteknologi tinggi, tenaga bersih, operasi berasaskan data serta sistem industri rendah karbon menyeluruh.