LAWAS: Semua jabatan dan agensi kerajaan di Bahagian Limbang diminta mengemukakan laporan kemajuan pelaksanaan projek masing-masing bagi memastikan pembangunan berjalan lancar dan teratur.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, berkata setiap agensi perlu membentangkan status projek—sama ada berjalan mengikut jadual, siap lebih awal daripada perancangan asal, atau mengalami kelewatan.
“Jika terdapat projek yang tertunda, kita perlu mencari puncanya, mengenal pasti kelemahan, serta berbincang mengenai langkah penambahbaikan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Bahagian Limbang yang berlangsung di Majlis Daerah Lawas, semalam.
Menurut Awang Tengah, projek yang berjaya disiapkan lebih awal akan dijadikan penanda aras untuk meningkatkan kecekapan pelaksanaan projek lain.
“Saya telah meminta semua agensi kerajaan membuat pembentangan mengikut format yang dipersetujui bagi memudahkan penilaian dan koordinasi,” ujarnya.
Turut hadir ialah Ahli Parlimen Lawas Dato Henry Sum Agong, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau Datuk Paulus Palu Gumbang, Residen Bahagian Limbang Yunus Tambi, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Awangku Jinal Abedin Dato Pengiran Jawa, dan Pegawai Daerah Lawas Ladin Atok.
