Tanjong Datu mantapkan pendidikan awal kanak-kanak

LUNDU: Pendidikan awal kanak-kanak terus menjadi fokus utama dalam usaha membina ekosistem pendidikan yang lengkap di kawasan Tanjong Datu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, Azizul Annuar Pehin Sri Adenan, berkata penekanan itu penting bagi memastikan jurang pendidikan antara bandar dan luar bandar dapat dirapatkan, selaras dengan visi Premier Sarawak menerusi Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 (PCDS 2030).

“Ekosistem pendidikan yang lengkap bermula seawal pendidikan kanak-kanak, sama ada melalui Tabika Jabatan Kebajikan Masyarakat (KEMAS) mahupun Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat Sarawak (KWKMS),” katanya.

Ucapan beliau dibacakan oleh Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Abang Abdul Aziz Datuk Abang Draup pada Majlis Penyampaian Hadiah Tabika KEMAS N3 Tanjong Datu 2025 di Dewan Serbaguna CENTEX Lundu, hari ini.

Turut hadir, wakil Pegawai Daerah Lundu Anwar Fakhriyuddin Matamit, Pegawai KEMAS Daerah Lundu Jeswin Liew, Penolong Pegawai Pendidikan Awal Kanak-Kanak P193 Santubong (KEMAS) Cahaya Jol, serta Pengurus CENTEX Lundu Mohd Hazizan Hakim.