LAWAS: Kerajaan Sarawak terus menegaskan komitmen terhadap pembangunan industri kuari dan mineral yang seimbang dengan kepentingan ekonomi, sosial dan kelestarian alam sekitar.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, berkata peraturan ketat sentiasa dikuatkuasakan bagi memastikan aktiviti industri tidak menjejaskan alam sekitar, selari dengan usaha global menangani krisis iklim.
Menurut beliau, melalui projek baharu ini kerajaan akan menilai keberkesanan teknologi hijau termasuk pengurangan pelepasan CO₂, pengurusan air dan sisa industri, serta bentuk insentif kepada syarikat yang bersedia beralih kepada industri mesra alam.
“Lawatan teknikal Kerajaan Sarawak ke Kanada pada 2024 turut membuka ruang pembelajaran mengenai amalan terbaik industri mineral negara tersebut, khususnya kerjasama erat antara kerajaan dan industri dalam membangunkan sektor yang mampan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Pelancaran Green Mining and Quarrying Academy di sebuah hotel terkemuka di sini, hari ini.
Awang Tengah berkata, kerajaan juga bakal memulakan pendigitalan industri mineral dan pengkuarian bagi meningkatkan ketelusan permohonan lesen, laporan pemain industri serta menyediakan pangkalan data bersepadu merangkumi sumber mineral dan pemetaan geologi.
Kerjasama dengan CENTEXS dilihat penting bagi melahirkan tenaga kerja mahir, termasuk melalui penubuhan Green Mining & Quarrying Academy, hasil kolaborasi pertama Sarawak bersama University of British Columbia (UBC), katanya.
Turut hadir, Ahli Parlimen Lawas Dato Henry Sum Agong, ADUN Batu Danau Paulus Palu Gumbang, ADUN Ba’kelalan Baru Bian, Setiausaha Tetap Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II Dato Sri tv Abdullah Julaihi serta kenamaan lain.
