Sarawak perkukuh pendidikan, tawar pengajian tinggi percuma 2026

DEBAK: Kerajaan Sarawak terus memberi keutamaan kepada pemerkasaan pendidikan dalam usaha melahirkan modal insan berkemahiran dan berdaya saing.

Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Mohamad Razi Sitam, berkata komitmen itu dizahirkan melalui pelbagai inisiatif yang dilaksanakan kerajaan negeri bagi meningkatkan mutu pendidikan seiring tuntutan dunia moden.

Menurutnya, kerajaan negeri meluluskan peruntukan besar untuk pembangunan sekolah, selain merancang untuk menawarkan pendidikan percuma di universiti milik Sarawak mulai 2026.

“Kerajaan turut menyediakan pelbagai kemudahan bagi meringankan beban pelajar, termasuk pemberian wang saku,” katanya ketika merasmikan Majlis Anugerah Kecemerlangan Saribas 2025 (AKSARi) di Dewan Akademia, SMK Saribas.

Sebagai ADUN Saribas, Mohamad Razi menyifatkan penganjuran AKSARi sebagai pengiktirafan kepada pelajar cemerlang dalam akademik dan kokurikulum. Beliau turut merakam penghargaan kepada ibu bapa dan guru sebagai tulang belakang kejayaan pelajar.

Katanya, penglibatan ibu bapa dan komuniti setempat amat penting sebagai rakan strategik dalam meningkatkan kecemerlangan pendidikan di negeri ini.