LAWAS: Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan menggesa kerjasama yang lebih erat antara PETRONAS dan PETROS bagi menyumbang kepada pembangunan negara, khususnya di Sarawak.
Beliau berkata, PETRONAS merupakan penyumbang utama negara dalam pelbagai aspek yang memberi manfaat kepada rakyat.
Menurutnya, hubungan strategik antara kedua-dua syarikat itu mampu memperkukuh aktiviti serta pembangunan sektor minyak dan gas di Sarawak.
PETRONAS juga memainkan peranan besar dalam pembangunan masyarakat, termasuk pendidikan, kebajikan dan kemasyarakatan, selain berjaya melahirkan tenaga kerja mahir serta profesional tempatan.
Awang Tengah berkata demikian pada Program Petronas Memacu Kehidupan Krismas dan Memperkasakan Ilmu Back to School 2025 di Lawas.
Beliau turut menyantuni 350 penerima daripada 34 kampung melalui sumbangan bakul makanan, serta 325 pelajar yang menerima bantuan keperluan sekolah.
Turut hadir ialah Ahli Parlimen Lawas Dato Henry Sum Agong, ADUN Batu Danau Datuk Paulus Palu Gumbang, serta barisan kepimpinan dan pengurusan PETRONAS.
