FTES 2026: Uggah mahu pelajar manfaatkan pendidikan percuma

SPAOH: Ibu bapa, guru serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) disaran memperhebatkan usaha memastikan anak-anak di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Saban tidak tercicir daripada merebut peluang Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES) yang akan bermula pada 2026.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, peluang itu perlu dimanfaatkan oleh pelajar yang layak melanjutkan pengajian ke universiti milik Sarawak, sejajar dengan komitmen kerajaan negeri memperkasa modal insan.

“Jangan kita ketinggalan. Guru dan PIBG perlu berusaha lebih gigih memastikan anak-anak kita dapat masuk universiti ini dan menikmati pendidikan percuma,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Merarau Krismas DUN N.37 Bukit Saban anjuran Gerempong Tuai Rumah Ulu Layar, yang turut menandakan perasmian Persatuan Tuai Rumah Ulu Layar, di hadapan kira-kira 900 tetamu, di sini, hari ini.

Uggah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri ADUN) Bukit Saban memaklumkan Pusat NADI Penom menyediakan tuisyen percuma kepada murid sekolah rendah dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains sebagai persediaan menghadapi Ujian Penilaian Program Dwibahasa (UP-DLP) Tahun Enam.

Beliau turut menyentuh beberapa inisiatif pembangunan di Bukit Saban, termasuk penyaluran bantuan baja melalui Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) kepada 439 pekebun lada dan 160 pekebun sawit sepanjang tahun ini.