KUCHING: Sebuah keluarga daif di Sungai Maong bakal ditawarkan penempatan sementara oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, selepas keadaan kediaman mereka yang tidak selamat tular di media sosial.
Menterinya, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, tindakan lanjut akan diputuskan selepas laporan siasatan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di lapangan diterima bagi menilai bentuk bantuan dan pendekatan yang wajar diambil.
“Memastikan keluarga terbabit tidak terus tinggal di kediaman yang tidak selamat adalah keutamaan.
“Oleh itu kementerian menyediakan penempatan sementara yang sesuai sementara penyelesaian kekal dikenal pasti.
“Yang paling penting adalah tempat tinggal. Mereka tidak boleh terus tinggal di situ,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Majlis Pembangunan Sosial di sini, hari ini.
Fatimah menambah, pelbagai bentuk bantuan lain telah disalurkan, termasuk bakul makanan, kerusi roda, perbelanjaan perubatan, bantuan kerajaan Sarawak serta sokongan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Katanya lagi, antara langkah yang kini dipertimbangkan ialah penempatan sementara di Transit Gelandangan (TTG) Kuching atau Pusat Sokongan Sosial Komuniti (CSSC), selain bantuan bayaran sewa untuk golongan miskin bandar.
