KOTA SAMARAHAN: Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak (UiTMCS) bekerjasama rapat dengan Kerajaan Sarawak bagi mengukuhkan kebolehpasaran graduan universiti itu.
Pro-Canselor UiTM, Datuk Abdul Wahab Aziz berkata, UiTMCS juga bekerjasama rapat dengan Konsortium Bumi Consultant and Services, serta universiti luar negara seperti National Formosa University, Taiwan, dan Universitas Muhammadiyah Surakarta, Indonesia.
Menurutnya, usaha ini membuahkan hasil dengan Laporan Kadar Bekerja Graduan UiTM 2024 mencatatkan 92.1 peratus.
“Ini sekali gus mengangkat martabat UiTM apabila diiktiraf sebagai Universiti Pilihan Majikan oleh Talentbank,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi MARA Ke-103 di Kampus UiTM Cawangan Sarawak, di sini, hari ini.
Abdul Wabah berkata, UiTM terus komited melahirkan graduan yang kompeten, berdaya saing dan relevan dengan keperluan semasa serta mempersiapkan pelajar menghadapi cabaran global.
Katanya, ini melalui penglibatan aktif dalam program antarabangsa, seperti University Intercultural Exchange 2025: Mapping Sarawak to the World di Dublin, Ireland, serta Come Discover Bumi Kenyalang 2025 yang menghimpunkan
pelajar dari Indonesia, China dan Cambodia.
Konvokesyen itu menyaksikan keseluruhan seramai 1,707 graduan dari UiTM Cawangan Sarawak iaitu seramai 401 graduan akan dikurniakan ijazah sarjana muda manakala 1,306 lagi (diploma) bermula hari ini sehingga 18 Disember 2025.
Seramai enam graduan menerima anugerah iaitu Abdul Somad Mustapha Kamal -Anugerah Graduan Terbaik Keseluruhan (Sarjana Muda) dan Anugerah Graduan Terbaik Khas MITSA (Sarjana Muda), Syahmie Adrie Superi -Anugerah Graduan Terbaik Keseluruhan (Diploma) dan Anugerah Graduan Terbaik Kepimpinan, (Diploma ), Muhammad Shahrinizam Ahmad-Anugerah Graduan Terbaik Kepimpinan (Sarjana Muda), Leonard Manggoi Justin-Anugerah Graduan Terbaik Khas Yayasan Sarawak (Sarjana Muda), Hadif Uzair Suhardi- Anugerah Graduan Terbaik Khas Yayasan
Sarawak (Diploma) dan Muhammad Abal Hakim Abal Mukam-Anugerah Graduan Terbaik Khas MITSA (Diploma).
