KUCHING: Menyediakan infrastruktur seperti jalan raya, bekalan elektrik dan air, membangun ekonomi hijau dan semikonduktor dan merapatkan jurang antara penduduk bandar dan luar bandar adalah fokus Belanjawan Kerajaan Madani dan Kerajaan Sarawak 2026.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof berkata, kejayaan membina Lebuhraya Pan Borneo (LPB) di Sarawak adalah contoh terbaik dalam mempercepatkan proses pembangunan dan merapatkan jurang berkenaan di negeri ini.
Ini disertai dengan rancangan Kerajaan Sarawak membina lebuhraya pesisir serta jambatan utama di seluruh negeri ini, katanya semasa menjadi ahli panel pada seminar Belanjawan Sarawak 2026 di BCCK di sini, hari ini.
Turut menjadi ahli panel pada seminar dua hari itu ialah Menteri Kewangan Kedua Kerajaan Persekutuan, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan. Moderator majlis itu ialah Syed Munawar Syed Mustar.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) berkata, Belanjawan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak boleh diumpamakan sebagai langkah panjang membangunkan negara dan mengamal prinsip akauntabiliti.
Menurut Fadillah, jika Belanjawan Negara dalam tempoh dua tahun lalu sebagai langkah pemulihan ekonomi selepas dilanda pendemik Covid-19, Belanjawan 2026 adalah untuk merangka dan membentuk semula program pembangunan negara.
Selain itu, kata Fadillah, Kerajaan Madani turut melaksanakan subsidi membantu golongan nelayan dan petani, Budi95, dan meneruskan program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan Sumbangan Tunai Ramah (STR) membantu meringankan beban kos sara hidup rakyat.
Menurut Fadillah, Kerajaan Sarawak memberi fokus kepada pembangunan tenaga hijau, hidrogen, tenaga dibaharui, semikonduktor, ekonomi digital untuk memakmurkan negeri dan mensejahterakan rakyat dalam belanjawannya.
Sementara itu Amir Hamzah pula berkata, Kerajaan Persekutuan turut menyediakan peruntukan bagi menanggung kos pengangkutan supaya barangan keperluan asas rakyat tidak dijual pada harga tinggi di Sarawak.
Sungguhpun peruntukan yang ditanggung itu besar disebabkan jarak antara Semenanjung dan Sarawak jauh, katanya, ia tetap diteruskan supaya rakyat Sarawak dan Sabah membeli barangan asas pada kos hampir sama dengan Semenanjung Malaysia.
Amir Hamzah menegaskan, keupayaan menyediakan bajet RM147 bilion untuk 2026, menandakan Kerajaan Madani adalah stabil dan apa yang diperlukan sekarang adalah untuk menyampaikannya kepada rakyat.
Sambil menzahirkan rasa yakin Sarawak akan mengalami pembangunan pesat, beliau berkata, yang penting Belanjawan Kerajaan Persekutuan hendaklah mengimbangi Belanjawan Negeri Sarawak.
Kerajaan Persekutuan dalam membentangkan belanjawan mempunyai tanggungjawab membantu membangunkan negeri, manakala Belanjawan Sarawak lebih terarah kepada usaha mempercepatkan tempoh pembangunan negeri, tegas beliau.
