KUCHING: Pejabat Gabungan Jurutera Perunding Bumiputera Sarawak (GJPBS) ditubuhkan dalam usaha memperkasakan bidang kejuruteraan di negeri ini.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Amar Fadillah Yusof merasmikan pembukaan pejabat berkenaan.
Ia menandakan satu langkah penting memperkukuhkan peranan jurutera perunding bumiputera dalam pembangunan infrastruktur negeri.
“Saya menyokong usaha GJPBS dalam menyediakan rangka kerja profesional dan peluang perkhidmatan kepada ahli-ahlinya, pembinaan dan pembangunan modal insan tempatan,” katanya.
Fadillah berkata demikian semasa merasmikan pembukaan Pejabat GJPBS di sini, hari ini.
Majlis tersebut dihadiri Pengerusi GJPBS, Ir. Irwan Zulkarnain Muhammad Hasbie.
GJPBS merupakan pertubuhan yang menggabungkan firma-firma perunding jurutera bumiputera dari pelbagai disiplin termasuk kejuruteraan awam, mekanikal dan lain-lain.
Gabungan ini telah berkembang dan aktif menerajui projek serta perkhidmatan profesional terhadap keperluan pembangunan negeri Sarawak.
Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya turut menzahirkan sokongan terhadap perancangan pembinaan Pusat Latihan Kecemerlangan Jurutera Perunding yang bakal dibina di Samarahan.
Projek pembinaan Pusat Latihan Kecemerlangan tersebut kini berada pada fasa mengenal pasti tapak yang sesuai di Samarahan, dengan anggaran pembinaan dijangka bermula awal 2026 selepas proses kelulusan dan reka bentuk dipenuhi.
