LAWAS: Kebajikan rakyat tidak dipinggirkan dalam usaha berterusan kerajaan membangunkan negeri ini, kata Timbalan Premier Sarawak.
Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Kedua berkata, berbagai inisiatif sosial diperkenal Kerajaan Sarawak untuk menjaga kebajikan rakyat.
“Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) hakikatnya berjuang untuk mensejahtera dan memakmurkan rakyat,” katanya pada majlis program bakul kasih dan jelajah wanita zon Merapok/Ulu Merapok anjuran Pergerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Bukit Sari Lawas petang semalam.
Beliau berkata, penglibatan Parti PBB, persatuan dan NGO dalam menjayakan program itu mencerminkan kerjasama erat antara rakyat berbilang kaum di negeri ini.
Hadir sama Ahli Parlimen Lawas merangkap Ketua Parti PBB Cawangan Ba’kelalan, Pengerusi pengelola merangkap Ketua Wanita Cawangan Bukit Sari, Aujiana Najian Garip dan ahli jawatankuasa induk Cawangan Bukit Sari dan Ba’kelalan.
Awang Tengah yang juga Timbalan Yang di-Pertua Parti memberitahu program itu mula dilaksanakan awal tahun ini bermula di Kampung Awat-awat dan berakhir di Ulu Merapok.
Program sepanjang tahun ini merupakan pendekatan Wanita mendekati dan mendengar denyutan nadi rakyat.
