KUCHING: DBKU bercadang melaksanakan projek penambahbaikan sistem saliran di bandar raya ini bagi menangani masalah banjir kilat terutama musim hujan.
Datuk Bandar Kuching Utara, Datuk Hilmy Othman berkata pelaksanaan projek ini bergantung kepada kelulusan peruntukan daripada Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).
“Projek berkenaan akan merangkumi kawasan tumpuan seperti Kuching Old City, Jalan Carpenter dan Waterfront, dengan matlamat memastikan aliran air lebih lancar dan sistem saliran berfungsi dengan baik,” katanya selepas mengadakan lawatan ke lokasi sistem saliran utama di Tebingan Kuching hari ini.
Hilmy menjelaskan, usaha ini sebahagian daripada strategi jangka panjang DBKU dalam menangani banjir kilat yang kerap berlaku menjelang akhir tahun.
Selain menaik taraf sistem saliran, DBKU katanya, akan meningkatkan kekerapan penyelenggaraan bagi memastikan saluran air sentiasa bersih daripada sampah dan halangan lain.
Beliau berkata lagi, pemantauan berterusan akan dijalankan di kawasan hotspot banjir seperti Padang Merdeka untuk mengurangkan risiko limpahan air.
“DBKU juga merancang lawatan ke lokasi-lokasi lain yang berisiko seperti Sungai Bedaun, Sungai Batu, Sungai Maong dan Green Road bagi menilai keberkesanan sistem saliran dan merancang penambahbaikan lanjut,” katanya.
