Dekati, fahami aspirasi belia, lebih 30 daerah dilawati – Abdul Karim

KUCHING: Agenda pemerkasaan belia khususnya di luar bandar diberikan keutamaan seiring dengan dasar inklusiviti kerajaan negeri dalam memastikan golongan tersebut membangun mengikut pembangunan yang dirancang.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, komitmen itu dizahirkan menerusi pendekatan turun padang dan penglibatan langsung di peringkat akar umbi.

Sepanjang dua tahun lalu katanya, lebih 30 daerah telah dilawati untuk mendekati golongan belia, mendengar aspirasi mereka serta membina keyakinan bahawa kerajaan sentiasa bersama dan menyokong pembangunan generasi muda.

“Kami menekankan prinsip inklusiviti dengan memastikan penyertaan komuniti luar bandar diperkukuh, sama ada dalam sektor pelancongan, pembangunan belia mahupun kebudayaan, kerana kesinambungan pembangunan hanya dapat dicapai apabila semua golongan bergerak seiring,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi ‘Fireside Forum’ sempena Persidangan Bajet Sarawak 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).

Pendekatan tersebut jelas beliau, bukan sahaja bertujuan memperkukuh penglibatan belia, malah memastikan kesinambungan dasar serta inisiatif pembangunan yang sedang dilaksanakan dapat diteruskan oleh generasi akan datang.

Katanya, pengaruh media sosial kini membolehkan belia Sarawak, sama ada di kawasan bandar mahupun pedalaman, merasai dan mengikuti perubahan serta kemajuan yang sedang berlaku ke arah yang lebih positif.

Menyentuh perkara lain, Abdul Karim berkata sektor pelancongan Sarawak terus menunjukkan momentum positif apabila merekodkan ketibaan seramai 4.42 juta pelancong setakat November tahun ini, untuk menjana resit pelancongan berjumlah RM11.25 bilion.

Katanya, pencapaian tersebut bukan sahaja mencerminkan pemulihan kukuh sektor pelancongan, malah meletakkan Sarawak pada landasan tepat untuk memperkukuh strategi pembangunan pelancongan mampan dan bernilai tinggi. – UKAS