MATU: Kejayaan akademik perlu bergerak seiring dengan pembentukan sahsiah, disiplin serta penghayatan nilai-nilai murni untuk melahirkan modan insan berketrampilan dan berkualiti.
Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi berkata demikian semasa merasmikan Majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar dan Apresiasi SK Sok Matu di sini, semalam.
“Tahniah kepada pihak pengurusan Sekolah SK Sok, PIBG SK Sok, Matu serta seluruh warga sekolah atas komitmen berterusan dalam memperkasa pendidikan,” katanya.
Jelasnya, majlis tersebut merupakan pengiktirafan terhadap pencapaian akademik serta sumbangan warga pendidik sekolah berkenaan.
Beliau turut menzahirkan penghargaan dan tahniah kepada pelajar yang telah menunjukkan prestasi cemerlang.
Pada majlis tersebut, Ahmad Johnie turut merasmikan penamaan semula Dewan Terbuka SK Sok kepada Dewan Sri Jiwa Panglima.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Guru Besar SK Sok yang akan berpindah atas jasa dan bakti memimpin warga sekolah.
Majlis turut meraikan Tokoh Kecemerlangan Pelajar sebagai inspirasi kepada murid lain untuk terus berusaha mencapai kejayaan.
