KUCHING: Kerajaan Sarawak menyalurkan peruntukan kira-kira RM2,500 bagi setiap Tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS).
Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong, Dato Fazzrudin Abdul Rahman berkata, ini sebagai sokongan berterusan bagi memastikan kemudahan prasekolah berada dalam keadaan baik dan kondusif.
“Sekali gus mewujudkan persekitaran pembelajaran yang selamat, selesa dan berkualiti untuk perkembangan awal kanak-kanak,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika Sambutan Hari Apresiasi Kanak-Kanak Tabika dan Taska Permata KEMAS Parlimen Petra Jaya Tahun 2025 di Wisma Sabati, di sini hari ini.
Fazzrudin berkata majlis itu menjadi wadah menghargai pencapaian serta perkembangan sahsiah kanak-kanak di peringkat pendidikan awal selari dengan usaha membentuk generasi masa depan negeri ini.
