LUNDU: Cadangan pembinaan hospital baharu di Lundu perlu bagi memenuhi keperluan kesihatan penduduk.
ADUN Tanjong Datu, Azizul Annuar Adenan, berkata hospital baharu itu sudah dirancang sejak era mantan Ketua Menteri, Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem.
“Tapak berhampiran Lebuhraya Pan Borneo, di kawasan Centex telah dikenal pasti sebagai lokasi ideal. Projek ini pernah tertangguh sejak 2018 kerana beberapa halangan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Mesin Dialisis 2025 kepada Hospital Daerah Lundu, hari ini.
Azizul menambah, bangunan hospital sedia ada telah beroperasi lebih 60 tahun dan memerlukan pembaikan besar.
Dalam pada itu, Pengarah Hospital Lundu, Dr Chin Shi How berkata, kerajaan telah meluluskan peruntukan RM2.5 juta bagi kerja-kerja pembinaan, pengubahsuaian dan pembaikan fasiliti Hospital Lundu, yang dijadual bermula 1 April 2026 dan disasarkan siap sepenuhnya menjelang 1 Oktober 2027.
Kerajaan katanya, memperuntukkan RM2.5 juta untuk pengubahsuaian dan penambahan kemudahan termasuk Wad Kanak-Kanak, Wad Bersalin, dan wad isolasi baharu. Projek ini dijangka siap pada 1 Oktober 2027.
“Naik taraf merangkumi peningkatan wad umum, penggantian bumbung, siling, tingkap, penambahbaikan tandas, dan pemasangan penyaman udara bagi keselesaan pesakit,” katanya.
Hospital itu turut menerima sumbangan mesin hemodialisis daripada Sarawak Energy Berhad (SEB) dengan kerjasama SABATI. Penyerahan disempurnakan dalam majlis yang dihadiri tokoh tempatan termasuk Dayang Norjihan Abang Johari dan Naib Presiden Kanan SEB, Siti Aisah.
