LAWAS: Orang ramai diharap tidak membeli barangan sehingga melebihi keperluan diri bagi memberi peluang kepada orang lain semasa Program Jualan Rahmah Madani di sini.
Exco Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu(PBB) Sarawak Steve Lius berkata, ia perlu supaya peluang itu dapat dimanfaat bersama semasa jualan murah itu.
“Cuba elak membeli secara borong kerana kasihan juga dengan mereka yang lambat datang sebab lokasi mereka jauh,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mewakili Ahli Parlimen Lawas Dato Henry Sum Agong menyempurnakan Penyerahan Bakul Rahmah Madani sempena Program Jualan Rahmah Madani Parlimen 222 Lawas kepada 30 penerima E-Kasih di Dewan Long Tuma Lawas, di sini, hari ini.
Hadir sama Ketua Cawangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Sub Cawangan Lawas, Dominic Joseph Bakir dan Ahli Majlis Daerah Lawas, Bidin Untong.
