FTES: Kerajaan Sarawak tanggung kos pendidikan 4,693 pelajar

KUCHING: Kerajaan Sarawak akan menanggung kos pendidikan bagi 4,693 pelajar dari empat universiti milik kerajaan melalui Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES) bermula sesi pembelajaran Februari atau Mac 2026.

Menurut Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, semua pelajar terbabit mengikuti 64 kursus yang diluluskan di bawah skim tersebut.

“Skim ini akan diteruskan pada tahun-tahun berikutnya, yang mana kerajaan akan menanggung yuran bagi pelajar sedia ada sepanjang tempoh pengajian selagi mereka mengikuti kursus yang diluluskan,” katanya pada Majlis Perasmian FTES di sini, hari ini.

Empat institusi terbabit ialah Universiti Teknologi Swinburne Sarawak, Universiti Curtin Malaysia, Universiti Teknologi Sarawak, dan Kolej Universiti i-CATS yang menawarkan kesemua 64 kursus berkenaan.

Dengan pelancaran itu, menjadikan Sarawak
negeri pertama di rantau ini menyediakan skim percuma kepada pelajar untuk menggalakkan mereka melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi (IPT) milik kerajaan negeri.

Pada 2026, katanya, Kerajaan Sarawak memperuntukkan RM650 juta untuk program FTES supaya anak-anak Sarawak dapat meneruskan pengajian ke peringkat universiti.

Pelancaran itu turut dihadiri pelajar di empat universiti berkenaan.

Sementara itu, MenteriPendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, jumlah 4,693 pelajar merangkumi mereka yang sedang menuntut tahun pertama; pelajar baharu masih belum mendaftar.

“Kebanyakan sesi pengajian bermula Februari depan. Pelajar sedia ada akan memulakan tahun kedua, manakala jumlah pelajar baharu akan diketahui selepas mereka mendaftar,” katanya.

Turut hadir ialah Timbalan-Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Profesor Dr. Sim Kui Hian, Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki dan tetamu kenamaan lain.