SIMANGGANG: Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) memperkukuhkan peranan sosialnya apabila menyalurkan sumbangan peralatan dan keperluan asas kepada Rumah Kanak-Kanak Datuk Ajibah Abol, Sri Aman menerusi inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR).
Majlis penyerahan sumbangan itu disempurnakan Pengurus Besar SEDC, Datu Abdul Hadi Abdul Kadir.
Menurutnya, pelaksanaan CSR bukan sekadar bantuan material, sebaliknya manifestasi keprihatinan SEDC terhadap keperluan sebenar komuniti serta usaha membina kesejahteraan jangka panjang.
Beliau berkata, sumbangan itu diharap dapat melancarkan pengurusan rumah kebajikan berkenaan dan menyediakan persekitaran yang lebih kondusif, untuk perkembangan emosi, intelektual dan sosial kanak-kanak.
Antara barangan yang disumbangkan ialah dua unit penyaman udara, sebuah mesin basuh bersama pengering, sebuah televisyen, tiga unit peti ais, dua kabinet almari 12 pintu, sebuah dispenser air dan sebuah meja keluli tahan karat.
Kesemua peralatan tersebut bertujuan meningkatkan tahap keselesaan penghuni serta memastikan pengurusan harian rumah kebajikan berjalan lebih teratur dan efisien.
SEDC menegaskan pembangunan sosial perlu bergerak seiring dengan pembangunan ekonomi selaras aspirasi “Memakmurkan Sarawak Hari Ini untuk Hari Esok”, sambil merakamkan penghargaan kepada pihak pengurusan rumah kebajikan dan semua yang terlibat menjayakan program tersebut.
