Sarawak kehilangan tokoh ekonomi

KUCHING: Pemergian tokoh ekonomi yang disegani mendiang Dato’ Dr. Madeline Berma merupakan kehilangan besar kepada negara hari ini.

Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki berkata, ini khususnya kepada Sarawak atas sumbangan mendiang dalam bidang pendidikan tinggi, penyelidikan dan pembangunan ilmu.

“Ini termasuk pemikiran dasar serta wacana pembangunan ekonomi,” katanya dalam kenyataanya hari ini.

Sehubungan itu, beliau bagi pihak Perkhidmatan Awam Sarawak merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga mendiang yang meninggal hari ini.

“Semoga keluarga mendiang diberi ketabahan,” tambahnya.

Sementara itu, pemergian Dr Madeline Berma hari ini menutup satu lembaran penting dalam dunia pemikiran ekonomi dan akademik negara, khususnya bagi Sarawak yang sekian lama menerima sumbangan beliau.

Dr Madeline Berma dilaporkan meninggal dunia di kediamannya di Bandar Baru Bangi, Selangor pada jam 11.30 pagi.

Sebagai seorang sarjana dan pemerhati dasar awam, Dr Madeline sering tampil berkongsi pandangan kritikal berhubung isu ekonomi, pembangunan dan kesejahteraan masyarakat, termasuk melalui penulisan serta wawancara di pelbagai saluran media tempatan.