GEDONG: Projek pembinaan 50 unit rumah Skim Pembesaran Kampung (SPK) Gedong dijangka siap pertengahan suku ketiga tahun ini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, projek akan dilaksanakan Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA) dengan peruntukan berjumlah RM22.6 juta.
Katanya, setiap rumah jenis LCDA Saphire 1 terbabit dibina menggunakan teknologi Sistem Binaan Berindustri (IBS) dan keluasan lantai kira-kira 871.87 kaki persegi serta dilengkapi panel solar.
“Konsep panel solar menerusi sistem Net Energy Metering (NEM) membolehkan tenaga elektrik dijana sendiri oleh pemilik rumah dan dikreditkan ke bil elektrik,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gedong berkata demikian selepas lawatan ke SPK Gedong di sini, hari ini.
Abang Johari memaklumkan model pembangunan ini akan diperluaskan termasuk ke Kabong, Simunjan, Kampung Sambir, Sadong Jaya, Beladin, Pusa, Daro, Sebuyau, Lawas, Trusan dan Sibu selari peningkatan permintaan rakyat terhadap perumahan luar bandar.
Turut hadir dalam lawatan tersebut Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr. Sim Kui Hian, Penasihat (SME) Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED) Dato Sri Mohd Naroden Majais, Pengurus Besar LCDA Datu Sr. Zaidi Mahdi, Pengerusi Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) Dato Ir. Yusuf Abdul Wahab.
