Insentif pendidikan Parlimen Petra Jaya manfaatkan ratusan pelajar

KUCHING: Program galakan pendidikan yang diperkenal Pusat Khidmat Parlimen Petra Jaya sejak 2004 terus menjadi inisiatif tahunan dalam usaha menyokong perkembangan akademik pelajar di kawasan berkenaan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof berkata, program berkenaan dilaksanakan secara berterusan sebagai komitmen membantu pelajar melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi serta meringankan beban kewangan keluarga.

Katanya, seramai 723 pelajar dari kawasan parlimen berkenaan menerima manfaat membabitkan jumlah peruntukan keseluruhan sebanyak RM172,500 sepanjang 2025. Ia diagihkan menerusi lapan pusingan.

“Usaha tersebut mencerminkan keprihatinan berterusan dalam memastikan pelajar tidak tercicir menikmati peluang pendidikan, sekali gus melahirkan generasi muda berilmu dan berdaya saing,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Program Petra Jaya Youth Meet Up dan Majlis Penyampaian Sumbangan Galakan Pendidikan di sini, hari ini.

Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya berkata, kekuatan sesebuah negeri bergantung kepada kualiti anak muda, justeru pelbagai inisiatif dirangka untuk dimanfaat bersama.

“Apabila kita mahu melihat masa depan negara yang kukuh, kita perlu bermula dengan membina generasi muda yang kuat dari segi ilmu, kemahiran dan sahsiah,” katanya.

Seramai 24 pelajar yang berjaya melanjutkan pengajian ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT) menerima insentif.

Majlis itu turut dihadiri isteri Timbalan Perdana Menteri, Datin Amar Ruziah Mohd Tahir dan Setiausaha Politik kepada Timbalan Perdana Menteri Ir Irwan Zulkarnain Muhammad Hasbie.