SONG: Agensi Pembangunan Ulu Rajang (URDA) memperkukuhkan pembangunan sosioekonomi masyarakat luar bandar di daerah ini melalui pelaksanaan program berimpak tinggi, termasuk bantuan peralatan perikanan kepada nelayan sungai bagi meningkatkan pendapatan isi rumah.
Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, antara inisiatif terkini ialah penyerahan bantuan peralatan perikanan kepada sembilan penerima di Kampung Kebiau, Jalan Takan, Song.
“Bantuan merangkumi bot, pukat dan enjin sangkut dengan peruntukan sebanyak RM135,000, bertujuan membolehkan penerima menjalankan aktiviti nelayan sungai dan meningkatkan pendapatan isi rumah mereka,” katanya pada majlis perasmian Dewan Kebiau di Kampung Kebiau, Jalan Takan, di sini hari ini.
Menurutnya, URDA ditubuhkan pada 2017 oleh Premier Sarawak dan mula beroperasi secara rasmi pada 2018, dengan bangunan pejabatnya di Kapit kini siap sepenuhnya.
“Walaupun belum mencapai tempoh 10 tahun penubuhan, pelbagai program pembangunan telah berjaya dilaksanakan oleh URDA, selari dengan agensi pembangunan lain seperti Agensi Pembangunan Tanah Tinggi (HDA) dan Agensi Pembangunan Utara Sarawak (NRDA),” kata beliau.
Beliau menambah, URDA telah diperuntukkan dana sebanyak RM1.5 bilion untuk tempoh empat hingga lima tahun bagi melaksanakan projek pembangunan di kawasan tanggungjawabnya, termasuk infrastruktur awam seperti jalan raya dan jambatan serta pelbagai program sosioekonomi berskala kecil.
“Antara sektor yang terlibat ialah nelayan sungai, pertanian, penternakan burung walet dan pengusahaan madu kelulut.
“Hasil awal menunjukkan keberkesanan yang positif, justeru skop serta liputan program ini akan diperluaskan,” katanya.
Ahli Parlimen Kapit itu turut memberitahu bahawa URDA berhasrat mengaplikasikan sains dan teknologi dalam pelaksanaan program sosioekonomi melalui kerjasama institusi pengajian tinggi.
Selain itu, satu lawatan kerja ke China dirancang pada 2026 bagi meninjau dan mempelajari amalan terbaik yang boleh dicontohi.
Mengulas mengenai Dewan Kebiau, Nanta berkata, dewan tersebut merupakan dewan serbaguna yang boleh dimanfaatkan untuk pelbagai aktiviti.
