LAWAS: Jabatan dan agensi persekutuan serta negeri di negeri ini bakal menempatkan pejabat masing-masing dalam satu bangunan kerajaan, apabila Pusat Pentadbiran Daerah Lawas (IAC Lawas) dijangka mula diduduki pada Februari depan.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki berkata, inisiatif itu bertujuan menempatkan semua jabatan dan agensi di bawah satu bumbung.
Ini katanya, sekali gus mengelakkan keperluan menyewa premis kedai atau bangunan lain.
“Dengan penempatan ini, jabatan-jabatan kerajaan tidak lagi perlu menyewa bangunan kedai,” katanya selepas meninjau projek IAC Lawas di Banting, Sundar dan pejabat daerah kecil Trusan, hari ini.
Abu Bakar menjelaskan, bangunan IAC Lawas setinggi 14 tingkat itu mampu menampung lebih 700 penjawat awam dan dijangka beroperasi sepenuhnya pada Mac depan.
Beliau sehubungan itu berharap agensi-agensi berkenaan akan memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.
Turut hadir pada lawatan tersebut ialah Ahli Parlimen Lawas, Dato Henry Sum Agong; Residen Bahagian Limbang, Yunus Tambi; dan Pegawai Daerah Lawas, Ladin Atok.
