KUCHING: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof berkata, usaha memperhalusi pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bertujuan mengembalikan hak-hak yang termaktub serta mengukuhkan hubungan antara Kerajaan Persekutuan dan negeri.
Katanya, langkah itu penting demi memastikan perpaduan negara terus terpelihara.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya berkata, ramai dalam kalangan pemimpin dan rakyat masih belum benar-benar memahami asas pembentukan Malaysia.
Ini kerana katanya sejarah berkaitan MA63 dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) kurang diberi penekanan dalam sistem pendidikan negara.
“Dalam silibus pendidikan kita, lebih memberi penekanan sejarah penubuhan Semenanjung Malaysia. Manakala, sejarah pembentukan Malaysia, MA63 dan Laporan IGC kurang diketengahkan sehingga ramai tidak memahami konteks sebenar perjanjian tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kepentingan menghidupkan semangat Malaysia berteraskan MA63 sempena program melibatkan alumni universiti terkemuka dunia, Cambridge dan Oxford di sini, malam tadi.
Justeru, beliau berkata Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) yang dipengerusikan Perdana Menteri, bersama penglibatan beliau dan menteri-menteri berkaitan, terus memperhalusi setiap perkara secara terperinci bagi memastikan hak-hak yang termaktub dapat diwujudkan semula atau dikembalikan sewajarnya.
Beliau menambah, bagi tuntutan yang tidak dapat dikembalikan sepenuhnya, pendekatan pengharmonian akan dilaksanakan agar semangat MA63 terus diperkukuh sekali gus mengekalkan perpaduan dan keharmonian negara.
