KUCHING: Semakin banyak syarikat Amerika Syarikat (US) menunjukkan minat untuk melabur dan bekerjasama di Sarawak, kata Duta Besar US ke Malaysia, Edgard Kagan.
Sambil memberi bayangan akan ada pengumuman pelaburan besar pada masa akan datang, beliau berkata, Kerajaan Sarawak harus memacu negeri ini menjadi peneraju serantau dalam tenaga boleh diperbaharui dan ekonomi hidrogen.
Dengan sokongan teknologi serta kepakaran pemain industri sama dari US, Kerajaan Sarawak boleh menjayakan misi tersebut, katanya kepada pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Kompleks Satria Pertiwi di sini.
Beliau menegaskan, syarikat di US mempunyai kemahiran dan teknologi yang berpotensi menyumbang kepada visi Sarawak, namun keputusan pelaburan bergantung sepenuhnya kepada syarikat masing-masing tanpa campur tangan kerajaan.
Dengan mewujudkan persekitaran yang menarik pelaburan, Sarawak adalah tempat yang sesuai untuk syarikat bertapak dalam jangka panjang, katanya.
Mengenai kunjungan tersebut, Edgard berkata beliau mahu bertemu secara peribadi bersama Premier Sarawak sebelum menamatkan perkhidmatan diplomatiknya pada 15 Februari ini.
Katanya, Sarawak mempunyai tempat yang istimewa sejak lawatan pertamanya pada 2014 di mana beliau sentiasa mendapat sambutan baik daripada Kerajaan Sarawak.
Jelasnya, Ketua Menteri ketika itu, Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem, kemudiannya Premier, jelas memberikan kerjasama yang sangat kuat kepada Amerika Syarikat.
“Oleh itu, saya ingin datang sendiri untuk mengucapkan terima kasih kepada Premier Sarawak bukan sahaja atas kebaikan dan kerjasama beliau terhadap saya secara peribadi, tetapi juga terhadap Amerika Syarikat.
“Saya juga menyatakan betapa saya menghargai kisah pembangunan Sarawak dan sejauh mana Sarawak telah berubah dalam tempoh 11 setengah tahun sejak pertama kali saya menjejakkan kaki ke sini,” ujarnya.
