KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi menerima kunjungan perpisahan Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia Edgard D. Kagan di kediaman rasmi beliau di sini, hari ini.
Edgard yang bakal menamatkan tempoh perkhidmatan beliau di Malaysia pada 16 Februari 2026, memulakan tugas sejak Disember 2023.
Dalam pertemuan tersebut, kedua-dua pihak membincangkan pelbagai inisiatif strategik yang melibatkan kepentingan bersama, khususnya dalam bidang ekonomi hijau dan tenaga boleh diperbaharui.
Edgard menyatakan kekaguman beliau terhadap kestabilan politik serta pelaksanaan pembangunan yang menyeluruh di Sarawak pimpinan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Beliau juga menegaskan komitmen Kedutaan Amerika Syarikat untuk terus menjadi rakan strategik dalam menyokong aspirasi Sarawak mencapai status negeri maju.
Sebelum mengakhiri sesi pertemuan, beliau merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Tun Pehin Sri atas kerjasama erat, keterbukaan serta kesediaan berkongsi pandangan dan nasihat sepanjang tempoh hubungan diplomatik yang terjalin.
