KUCHING: Bantuan Ketua Isi Rumah Wanita Sarawak (KIRWaS) akan diteruskan dengan peruntukan berjumlah RM300,000 tahun ini.
KIRWaS adalah bantuan Kerajaan Negeri untuk ketua isi rumah (KIR) wanita atau ibu tunggal bernilai RM500 untuk seorang penerima.
Ia bertujuan mengupayakan usahawan wanita Sarawak.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK), Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, seramai 628 orang KIR wanita seluruh Sarawak akan menjadi penerima baharu bantuan itu tahun ini.
“RM300,000 tidak cukup untuk membantu semua yang memohon, jadi kita letak kriteria ketua isi rumah wanita tadi pendapatannya tidak melebihi Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) sebanyak RM2,618 sebulan,”katanya.
Beliau berkata demikian di Majlis Penyerahan Geran Modal Pemerkasaan Wanita Sarawak di The Federation of Chinese Associations di sini, hari ini.
Fatimah berkata, pemantauan kemajuan pendapatan usahawan terbabit akan dilakukan dalam tempoh enam bulan agar berjaya menjana pendapatan melebihi PGK semasa iaitu RM2,618 sebulan.
“Kita berharap tahun hadapan kita akan mendapat peruntukan (KIRWaS) lebih banyak lagi,” tambahnya.
Sehubungan itu, beliau meminta penerima KIRWaS memanfaatkan bantuan terbabit dan memberi kesan penambahan pendapatan mereka.
Katanya, ini bagi membolehkan pihaknya memohon peruntukan daripada Kerajaan Sarawak.
