SERIAN: Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran merupakan wadah untuk menghayati kandungan kitab suci Al-Quran sebagai asas pembinaan ilmu, pembangunan ekonomi serta kemajuan tamadun manusia.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Al-Quran mengandungi panduan menyeluruh bagi membentuk akhlak dan sumber ilmu ke arah memacu pembangunan manusia dan negeri.
Umat Islam katanya, harus meneladani pemikiran tokoh ilmuwan Islam seperti Ibnu Khaldun yang mengaitkan pembangunan masyarakat dengan kekuatan ilmu serta keupayaan manusia mengurus perubahan.
“Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum melainkan kaum itu sendiri mengubah diri mereka.
“Ini bermakna perubahan memerlukan ilmu dan ilmu itu penting untuk kita membangunkan bumi serta meneroka potensi baharu, termasuk bidang angkasa dan teknologi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Malam Perasmian Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Sarawak Tahun 2026 bertemakan “Ummah Maju Makmur: Insan Berilmu Menjulang Kelestarian Alam” di Serian Conference Centre malam ini.
Beliau turut berkongsi rancangan membangunkan Pusat Pengembangan Islam yang kekal di Petra Jaya sebagai hab ilmu berteraskan Al-Quran yang turut terbuka untuk perkongsian ilmu dengan masyarakat bukan Islam.
“Ilmu tidak mempunyai sempadan. Ia boleh dimanfaatkan oleh semua kaum untuk membina peradaban yang lebih maju dan seimbang,” ujarnya lagi.
Majlis tersebut turut menyaksikan simbolik perasmian Al-Quran penterjemahan dalam bahasa Bidayuh Sadong kepada tiga ketua masyarakat dan ketua kaum di Daerah Serian.
Hadir sama, anakanda Premier Sarawak, Dayang Norjihan, Speaker DUN Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, Menteri Pendidikan Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, Dato Idris Bujang, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Timbalan-Timbalan Menteri Persekutuan dan Sarawak.
