PROSPEK bantu tingkatkan kemahiran belia luar bandar

KUALA LUMPUR: Sejumlah 31 GiatMARA diwujudkan di Sarawak dalam usaha meningkatkan kemahiran golongan belia, khususnya dalam bidang teknikal.

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang
berkata, usaha membantu belia turut disokong melalui pelbagai program ekonomi secara berkelompok seperti pelaksanaan Projek Bersepadu Pembangunan Ekonomi Kampung (PROSPEK) yang melibatkan lima atau lebih perkampungan sedia ada bagi membangunkan produk khusus dan mewujudkan ekonomi skala.

Katanya, setakat ini, lima projek PROSPEK dilaksanakan di Sarawak, iaitu PROSPEK Matu, PROSPEK Lawas, PROSPEK Kota Samarahan, PROSPEK Betong dan PROSPEK Sebuyau melibatkan keseluruhan 25 kampung.

“Terdapat program untuk kesejahteraan rakyat seperti Program Peningkatan Pendapatan (PPP) bagi memberi bimbingan kepada kumpulan sasar untuk menjalankan aktiviti ekonomi dan program Latihan Kemahiran dan Kerjaya (PLKK) supaya dapat meningkatkan kemahiran serta peluang pekerjaan desa termasuk belia.

“Seramai 111 peserta menerima manfaat PPP dan 107 peserta menerima manfaat PLKK di Sarawak melalui empat kursus kemahiran yang diluluskan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan lisan Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi di Dewan Rakyat di sini, semalam.

Rubiah berkata, KKDW turut menekankan kepentingan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) melalui agensi-agensinya bagi memenuhi keperluan industri.

Di bawah kementerian itu katanya, terdapat 281 institusi TVET yang menawarkan 580 program merangkumi 15 kluster bidang kemahiran, dengan kadar kebolehpasaran graduan mencapai 95 peratus dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini.

Sehubungan itu, katanya KKDW sentiasa memberikan penekanan serius terhadap agenda pembangunan belia luar bandar, selaras dengan aspirasi Dasar Pembangunan Luar Bandar (DPLB).