Waspada hasutan pihak luar, rakyat diingat jangan terpengaruh-Henry Sum

LAWAS: Rakyat Sarawak perlu berwaspada dengan semakin banyak fitnah dan tuduhan yang disebarkan menjelang pilihan raya negeri (PRN akan datang.

Ahli Parlimen Lawas Dato Henry Sum Agong berkata, ini terutamanya yang disebar di laman sosial untuk melaga-lagakan rakyat Sarawak.

“Waspadalah kerana banyak yang cuba masuk, tapi tidak mudah, jadi mereka melaga-lagakan rakyat Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat pertama Ketua-ketua Masyarakat dan Ketua-ketua Kaum (KMKK) bagi kawasan Ba’kelalan di Hotel Seri Malaysia Lawas, di sini, hari ini.

Jelas Henry, biarlah Sarawak dijaga oleh Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang terbukti tegas memperjuangkan hak Sarawak dan membangunkan negeri ini.

“Kita jaga kita dan jangan harap orang lain jaga rumah dan periuk nasi kita. Orang lain tu bak kata arwah Tok Nan kita..cakap ajak besar tapi semua sik tauk, ” tambahnya.

Beliau turut menasihatkan KMKK itu untuk miliki rekod projek pembangunan yang dilaksana di kawasan masing-masing.

“Mereka juga perlu sentiasa mengemas kini maklumat kawasan, termasuk jumlah penduduk serta senarai projek yang diperlukan oleh penduduk kampung untuk dikemukakan kepada kerajaan.

“Kita amat memerlukan input daripada peringkat akar umbi, dan melalui suara rakyat, kita dapat merancang pelbagai program serta rancangan pembangunan yang memberi manfaat kepada semua,” ujarnya.

Pada masa sama, katanya aspek perpaduan dan kerjasama rakyat berbilang kaum di kawasan Parlimen Lawas terus dipelihara.