SUKSAR IV platform uji kemampuan atlet

BETONG: Kontinjen Sarawak meletakkan sasaran jelas untuk mempertahankan kejuaraan keseluruhan pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026 yang dijadual berlangsung mulai 15 hingga 24 Ogos depan.

Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Gerald Rentap Jabu berkata, penganjuran temasya Sukan Sarawak (SUKSAR) IV 2026 kini menjadi medan utama bagi atlet negeri ini membuktikan kemampuan sebelum melangkah ke peringkat nasional.

Menurutnya, sasaran mengekalkan kejuaraan tersebut penting bagi membuktikan atlet Sarawak bukan sahaja cemerlang di peringkat negeri, malah mampu bersaing secara konsisten serta mengekalkan prestasi di tahap tertinggi.

“Sasaran ini bukan sekadar angka, tetapi bukti keupayaan atlet kita untuk bersaing secara konsisten dan berpotensi melangkah ke pentas antarabangsa pada masa hadapan,” katanya semasa merasmikan SUKSAR IV 2026 di Dewan Sukan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan, di sini hari ini.

Beliau menegaskan SUKSAR bukan sekadar kejohanan sukan, sebaliknya platform strategik bagi pencarian bakat dan pembentukan atlet Sarawak yang holistik, berdaya saing serta berdisiplin tinggi.

Menurut Rentap, menerusi temasya ini atlet diuji dari segi keupayaan fizikal dan teknikal, selain aspek mental, daya tahan, disiplin serta semangat kesukanan yang menjadi elemen penting dalam landskap sukan moden.

Dalam pada itu, beliau menggesa para atlet agar memanfaatkan SUKSAR sebagai ruang terbaik untuk menonjolkan potensi sebenar, memperkukuh keyakinan diri serta menjadikan setiap peluang sebagai batu loncatan ke arah kerjaya sukan yang lebih profesional.

Beliau turut mengingatkan jurulatih dan pegawai sukan supaya terus membimbing atlet secara menyeluruh merangkumi prestasi fizikal, pembentukan sahsiah, disiplin serta penerapan mentaliti juara yang berterusan.

Beliau sehubungan itu, merakamkan penghargaan kepada Perbadanan Sukan Sarawak (SSC), Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS), agensi kerajaan negeri serta jawatankuasa pelaksana yang bertungkus-lumus menjayakan penganjuran SUKSAR IV 2026.

Temasya SUKSAR IV 2026 yang membuka tirai hari ini mempertaruhkan sebanyak 105 pingat emas, 105 pingat perak dan 135 pingat gangsa, menjadikannya medan persaingan kompetitif dalam melahirkan atlet pelapis negeri.

SUKSAR IV 2026 berlangsung mulai esok (5 hingga 8 Februari) ini di Sri Aman, Betong dan Lubok Antu, melibatkan 773 atlet daripada empat zon utama yang bersaing dalam 11 jenis sukan sebagai persediaan berfasa menuju SUKMA XXII Selangor 2026.