SMD Semiconductor, Universiti Bristol dan Yayasan Sarawak meterai MoU, perkukuhkan pembangunan teknologi

KUCHING: SMD Semiconductor memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Universiti Bristol dan Yayasan Sarawak yang menyediakan rangka kerja jangka panjang selaras dengan Pelan Hala Tuju Semikonduktor Sarawak 2030.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata pelan rangka kerja tersebut berasaskan konsep ‘Beyond Moore’s Law’ dan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 bagi memastikan industri semikonduktor wilayah ini berkembang secara mampan dan berdaya saing.

Katanya, pemeteraian MoU ini menjadikan SMD sebagai penggerak utama pembangunan teknologi semikonduktor sebatian, termasuk Gallium Nitride (GaN) dan Gallium Oxide.

“SMD memainkan peranan sebagai peneraju industri, memastikan penyelidikan diterjemah menjadi produk, teknologi dan aplikasi yang selaras dengan keutamaan jangka panjang Sarawak,” katanya semasa menyempurnakan majlis tersebut.

Beliau berkata demikian pada majlis pemeteraian MoU tersebut di sini hari ini.

Majlis pemeteraian MoU itu telah disaksikan oleh Premier Sarawak dan ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif SMD Semiconductor, Shariman Jamil bersama Pengarah Akademik dan Ketua Projek REWIRE Universiti Bristol Profesor Martin Kuball serta Pengarah Yayasan Sarawak Datu Mohamad Junaidi Mohidin.

Dalam ucapan sama, Premier turut menekankan pembangunan bakat tempatan sebagai keutamaan.

Inisiatif ini ujar beliau, termasuk melahirkan jurutera dan penyelidik bertaraf dunia melalui program Doktor Falsafah (PhD) dalam Semikonduktor Kompaun di Universiti Bristol, yang disokong oleh Yayasan Sarawak untuk memperkukuh industri semikonduktor tempatan dan global.

“Peranan Universiti Bristol ialah menyediakan kepakaran akademik bertaraf dunia dan kemudahan penyelidikan canggih, manakala SMD Semiconductor memastikan hasil penyelidikan selaras dengan keperluan industri dan strategi teknologi Sarawak.

“Penglibatan Yayasan Sarawak pula memastikan para sarjana Sarawak dilatih di institusi bertaraf dunia dan kembali menyumbang kepada ekosistem semikonduktor tempatan,” jelasnya lanjut.

Terdahulu, Setiausaha Kewangan Sarawak merangkap Pengerusi SMD Semiconductor, Dato’ Sri Dr. Wan Lizoizman Wan Omar menekankan bahawa industri semikonduktor adalah sektor berjangka panjang, yang mana kejayaan bergantung kepada asas kukuh, pengalaman dan pelaburan berterusan dalam bakat.

Menurutnya, peluang besar wujud bagi Sarawak untuk membina kapasiti tempatan menghadapi permintaan global terhadap jurutera semikonduktor.

“Sebagai matlamat jangka panjang, Pelan Hala Tuju Semikonduktor Sarawak 2030 menyasarkan sumbangan sektor semikonduktor kepada kira-kira RM30 bilion kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Sarawak, mewujudkan 3,000 pekerjaan berkemahiran tinggi dan menarik pelaburan baru sebanyak RM2 bilion menjelang 2030,” jelas beliau.

Turut hadir ialah Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Dato’ Sri Roland Sagah Wee Inn, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Francis Harden Hollis dan Datuk Dr. Annuar Rapaee, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan) Dato’ Sri Dr. Muhammad Abdullah Zaidel.