Barisan kepimpinan Persatuan Jatti Miriek Miri diperkenal

KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi menerima kunjungan hormat Persatuan Jatti Miriek Miri di kediaman rasmi beliau di sini, hari ini.

Kunjungan diketuai Naib Presiden persatuan, Dato Mohamad Safri Datuk Abdillah yang hadir mewakili Presiden bertujuan memperkenalkan barisan kepimpinan serta mendapatkan pandangan dan nasihat Yang di-Pertua Negeri Sarawak berhubung peranan persatuan dalam memperkasa komuniti Jatti Miriek di Sarawak.

Delegasi turut disertai Timbalan Presiden merangkap Ketua Kaum, Usman Suleiman, Setiausaha Kehormat, Pemanca Ujut Rahman, Bendahari Kehormat, Malati Tani, Pegawai Penerangan, Robiah Tani, Juru Audit, Marini Juraibi, Penghulu Andara Salleh serta beberapa ahli jawatankuasa lain.

Dalam pertemuan tersebut, pihak persatuan merakamkan penghargaan kepada Tun Pehin Sri atas peranan penting beliau dalam memastikan pengiktirafan rasmi kumpulan-kumpulan etnik Sarawak oleh Kerajaan Sarawak selaras dengan usaha memelihara kepelbagaian budaya dan identiti masyarakat negeri ini.

Beliau juga menasihatkan kepimpinan persatuan agar melaksanakan amanah dengan penuh keikhlasan serta menegaskan bahawa budaya dan warisan bukan sekadar tinggalan sejarah, malah merupakan asas penting dalam membentuk jati diri dan hala tuju generasi akan datang.