Bazar Ramadan: Peniaga perlu patuhi peraturan, hotel disaran nilai semula harga bufet

KUCHING: Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) tidak mengenakan sebarang sekatan kepada peniaga yang memohon berniaga di kawasan luar bazar Ramadan di bawah bidang kuasa dewan tersebut.

Bagaimanapun, peniaga disaran agar tidak berniaga terlalu berdekatan serta menjaga kebersihan kawasan masing-masing.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi berkata, peniaga juga diminta menyusun atur gerai agar tidak menghalang laluan jalan raya dan tidak menggunakan tempat letak kereta awam.

“Mereka perlu memperoleh kelulusan daripada pihak berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan Sumbangan Majlis Islam Sarawak (MIS) Tahun 2026M/1447H di Dewan Kompleks Islam Sarawak, di sini, hari ini.

Menurutnya, sumbangan keseluruhan berjumlah RM4,627,000 daripada dana Baitulmal itu diagihkan kepada 1,688 jawatankuasa pengurusan masjid, surau serta jawatankuasa pengurusan tanah perkuburan Islam yang berdaftar dengan MIS di seluruh Sarawak.

Dr. Abdul Rahman berkata, pemilihan peniaga yang akan mendapat tapak berniaga di bazar Ramadan anjuran DBKU dilaksanakan dua minggu lalu menerusi proses cabutan undi.

“Dalam masa terdekat peniaga akan diberikan nombor lot masing-masing. Pada tahun ini, DBKU hanya menyediakan satu bazar Ramadan yang diselenggarakan sepenuhnya oleh DBKU,” katanya.

Tambah beliau, terdapat dua lagi bazar Ramadan yang dianjurkan DBKU melalui kerjasama dengan pihak lain, iaitu di Sukma (Petra Jaya) dan kawasan Pinang Jawa.

Dalam perkembangan lain, beliau menyarankan pihak hotel menilai semula kadar harga bufet berbuka puasa supaya lebih berpatutan, berikutan kebimbangan orang ramai terhadap harga yang ditawarkan, khususnya di hotel-hotel.

Beliau turut memaklumkan bahawa Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) bersama agensi-agensi Islam Sarawak menjalankan pemantauan ke atas premis yang ingin menyediakan bufet berbuka puasa.

Turut hadir, Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak, Datuk Misnu Taha serta Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak merangkap Setiausaha MIS, Ustaz Mual Suaud.