MUKAH: Jambatan Batang Igan akan dibuka kepada orang awam pada 15 Mac ini, sempena sambutan Aidilfitri, kata Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Beliau berkata, pembukaan jambatan tersebut menamatkan kebergantungan penduduk terhadap perkhidmatan feri yang sebelum ini mengambil masa sehingga 30 minit untuk menyeberangi Batang Igan.
Menurutnya, jambatan sepanjang 1.4 kilometer (km) itu bakal menjadi pemangkin utama pembangunan sosioekonomi selain meningkatkan akses kepada pendidikan, perkhidmatan kesihatan dan perhubungan penduduk, khususnya di kawasan Jemoreng dan Batang Igan.
“Perjalanan yang sebelum ini mengambil hampir setengah jam kini hanya kira-kira satu minit,” katanya selepas menyempurnakan Stitching Ceremony Jambatan Batang Igan, di sini, hari ini.
Uggah berkata, projek bernilai RM285.53 juta itu dibiayai Kerajaan Sarawak pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan dibina mengikut piawaian Jabatan Kerja Raya (JKR) R5 dengan dua lorong.
Beliau menegaskan, projek infrastruktur seperti ini membuktikan komitmen Kerajaan GPS dalam memastikan pembangunan luar bandar terus dipergiatkan di seluruh Sarawak.
Turut hadir ialah Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah; Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Datuk Dr Juanda Jaya; Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat dan Unit Komunikasi Awam Sarawak), Datuk Abdullah Saidol, serta kenamaan lain.
