Dialog pembangunan Bukit Saban bersama pemilik tanah NCR Ulu Rimbas, Ulu Paku

SPAOH: Kerajaan Sarawak sentiasa mendengar pandangan rakyat dalam menentukan hala tuju pembangunan sosioekonomi di kawasan Bukit Saban, dengan sasaran meningkatkan pendapatan keluarga kepada RM15,000 menjelang tahun 2030.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, pendekatan dialog bersama rakyat penting bagi memastikan perancangan pembangunan selari keperluan komuniti.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban berkata demikian semasa dialog pembangunan sosioekonomi bersama pemilik tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) dari 14 rumah panjang di Ulu Rimbas dan Ulu Paku, hari ini.

Menurutnya, fokus utama kerajaan adalah memperkukuh kegiatan ekonomi bagi meningkatkan pendapatan penduduk secara mampan dan berperingkat.

Antara perkara dibincangkan ialah potensi pembangunan tanah NCR melalui kerjasama dengan sektor swasta yang mampu menyediakan modal, teknologi, kepakaran pengurusan dan akses pasaran.

Uggah berkata, kerajaan akan terus menyokong usaha tersebut menerusi penyediaan infrastruktur serta kemudahan asas bagi menjamin kelangsungan projek pembangunan.

Beliau yakin sasaran pendapatan itu boleh dicapai sekiranya wujud kesediaan rakyat untuk bekerjasama serta komitmen berterusan semua pihak berkepentingan.

Dalam sesi berkenaan, syarikat swasta turut memberi taklimat mengenai pengalaman membangunkan tanah NCR, termasuk kejayaan projek berskala besar di kawasan lain.

Uggah turut menegaskan keperluan mengaktifkan lebih 6,000 hektar tanah NCR terbiar agar dapat dimanfaatkan sepenuhnya untuk menjana pendapatan penduduk.

Beliau menjelaskan, pendekatan kerjasama dengan sektor swasta bukan perkara baharu di Bukit Saban, memandangkan beberapa projek terdahulu seperti Pusat Pengumpulan, Pemprosesan dan Pembungkusan (CPCC), Taman Agro dan Projek Bersepadu Pembangunan Ekonomi Kampung (PROSPEK) menunjukkan impak positif kepada ekonomi.

Sementara itu, Ahli Parlimen Betong, Dato Dr Richard Rapu menyatakan sokongan terhadap pendekatan dialog berterusan demi memastikan pembangunan dilaksanakan secara telus.