Teratak Kasih Tok Nan rapatkan jurang perkhidmatan HIV

BINTULU: Kerajaan Sarawak menyumbang sebanyak RM2.25 juta bagi tempoh tiga tahun bagi menyokong operasi dan peluasan inisiatif Teratak Kasih Tok Nan di negeri ini.

Hasilnya, Teratak Kasih Tok Nan cawangan Bintulu merupakan yang ketiga dirasmikan di Sarawak selepas Kuching dan Miri.

Sehubungan itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyambut baik peluasan inisiatif itu ke Bintulu yang amat signifikan dalam membantu merapatkan jurang penyampaian perkhidmatan HIV.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Hanifah Hajar Taib berkata, langkah itu khususnya ketika berdepan cabaran jarak geografi, bentuk muka bumi yang mencabar serta perbezaan tahap pembangunan kawasan bandar dan luar bandar di negeri ini.

“Inisiatif ini turut melengkapkan pelaksanaan pendekatan Differentiated HIV Services for Key Populations (DHSKP) di peringkat lapangan khususnya dalam memastikan kumpulan berisiko dan terpinggir menerima perkhidmatan yang berkualiti, selamat serta berteraskan keperluan sebenar komuniti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis perasmian Teratak Kasih Tok Nan Cawangan Bintulu yang disempurnakan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Prof. Dr Sim Kui Hian.di sini, hari ini.