BINTULU: Penubuhan Teratak Kasih Tok Nan di sini merupakan langkah strategik bagi memastikan pesakit HIV/AIDS mendapat rawatan dan sokongan sewajarnya.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian berkata, penubuhan cawangan itu yang ketiga di negeri ini susulan kadar HIV tertinggi di Sarawak.
“Walaupun angka terkini menunjukkan sedikit penurunan kepada 13 kes per 100,000 penduduk, isu ini masih membimbangkan,” katanya pada sidang media selepas meramikan pembukaan bangunan Teratak Kasih Tok Nan Cawangan Bintulu di sini.
Dr. Sim yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan menegaskan, selain rawatan perubatan yang disediakan KKM, Teratak Kasih Tok Nan turut membantu dari segi pengangkutan bagi memastikan tiada individu tercicir daripada mendapatkan rawatan penting.
“Seperti Covid-19, walaupun pandemik dilihat semakin menurun, virus masih wujud dan memerlukan pengamalan tabiat sihat seperti pemakaian pelitup muka dan sanitasi tangan,” katanya dan menegaskan tabiat pencegahan yang berterusan dapat mengurangkan impak penyakit berjangkit termasuk HIV/AIDS.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada penaung Yayasan AIDS Malaysia Borneo Datuk Amar Jamilah Anu yang menjadi penyokong dan penggerak inisiatif ini melalui pelbagai badan amal termasuk Sacred Heart Foundation yang diasaskan oleh almarhum Datuk Amar Laila Taib dan kini melalui Yayasan AIDS.
Dalam sidang media sama, Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Hanifah Hajar Taib berkata pendekatan kolaboratif antara kerajaan negeri, Persekutuan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) penting selaras dengan Pelan Strategik Nasional Mengakhiri AIDS, termasuk Pelan Replenishment Nasional HIV dan AIDS.
.
