KUCHING: Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS) menyalurkan perbelanjaan lebih RM299 juta kepada penerima bantuan bulanan kebajikan di Sarawak sepanjang 2025.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, perbelanjaan sebanyak RM299,791,550 itu membabitkan seramai 57,073 penerima bantuan tersebut seluruh Sarawak.
“Bagi Januari sehingga Disember 2025, Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian Kuching menyalurkan perbelanjaan sebanyak RM 57,287,700 untuk 10,883 penerima bantuan bulanan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Sejambak Kasih Tahun Baharu Cina di Dewan Masyarakat Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) di sini hari ini.
Antara bantuan bulanan itu ialah Bantuan Warga Emas (BWE), Bantuan Kanak-kanak (BKK),Bantuan Am (BA), Elaun Pekerja Orang Kelainan Upaya (EPOKU), Bantuan Penjagaan Oku/ Pesakit Kronik Terlantar (BPT), Bantuan Oku Tidak Berupaya Bekerja (BTB), Bantuan Anak Pelihara (BAP) dan Bantuan Belia-Beliawanis (BBB).
Fatimah menjelaskan, seramai 150 penerima bantuan bulanan kebajikan yang akan meraikan Tahun Baharu Cina dari Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian Kuching turut hadir.
Katanya, mereka menerima sumbangan wang tunai bernilai RM100 beserta sumbangan hamper barangan makanan bernilai RM80.
