JAKARTA: Masa hadapan Pulau Borneo tidak bergantung kepada pembangunan ekonomi tunggal tetapi bergantung kepada kolaborasi dan kerjasama erat dengan Indonesia dan negara jiran.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kerjasama erat itu akan membantu melestarikan pembangunan dan membina ketahanan secara lebih bermakna untuk tahun-tahun akan datang.
“Sarawak bersedia bekerja rapat dengan Indonesia dan negara jiran dalam merealisasikannya,” katanya dalam ucaptamanya pada Sidang Kemuncak Ekonomi Indonesia (IES) 2026 di sini, hari ini.
Menurut beliau, dalam mencapai matlamat PCDS 2030, masa depan Sarawak bergantung rapat kepada kemakmuran negara jiran, terutama dalam pembangunan pesat ibu negara baharu Indonesia, Nusantara.
Pembangunan pesat di Nusantara, katanya, akan mengukuhkan peranan Sarawak sebagai rakan kongsi dalam kemajuan di Pulau Borneo yang menyokong pembangunan infrastruktur, perdagangan dan kerjasama tenaga.
Pembangunan pesat itu juga, tambahnya, bukan hanya memacu kemajuan di Indonesia tetapi memberi kesan signifikan kepada pertumbuhan menyeluruh ekonomi di Borneo.
Beliau berkata, kesalinghubungan dan kerjasama erat di Pulau Borneo akan mentransformasikan wilayah ini menjadi tempat dagangan dan ekonomi bersepadu.
Justeru, katanya, Sarawak memberi penekanan kepada dialog terbuka dengan semua pemegang taruh untuk mengeratkan persefahaman bersama, menangani kebimbangan dan merangka hala tuju masa depan.
Dengan mewujud hubungan serantau yang lebih kukuh dan memudahkan pergerakan rakyat dan barangan, tegas beliau, Sarawak berhasrat membina pembangunan secara inklusif dan mampan di Pulau Borneo.
Potensi pelaburan yang diwujudkan oleh Sarawak, tambahnya, mengalu-alukan pengusaha industri menerokai peluang kerjasama dalam jangka panjang dan bersama-sama membangunkan pertumbuhan mampan dan membina kemakmuran.
Sejak beberapa tahun lalu, katanya, Pulau Borneo mendapat perhatian global terutama potensinya dalam menghasilkan tenaga dibaharui.
Sarawak, katanya, memberi sumbangan besar melalui kerjasama rapat dengan Indonesia termasuk membangunkan projek tenaga hidro secara bersama dengan Kalimantan Utara dengan rakan Indonesia.
Kerjasama ini membuktikan keupayaan Pulau Borneo membangunkan tenaga bersih melalui kerjasama dan mewujud rakan kongsi melepasi sempadan, katanya dan menambah, dua minggu lepas, Sarawak dan Sabah melancarkan Tenaga Grid Sambungan Sarawak-Sabah.
Ini menandakan langkah masa depan penting dalam Grid Tenaga Borneo (BPG) dan menyokong visi jangka panjang Grid Tenaga ASEAN (APG) dalam mengukuh kesalinghubungan tenaga melepasi sempadan antara wilayah.
Ini adalah satu contoh keupayaan Borneo boleh bekerjasama untuk faedah bersama, katanya dan menambah, lebih penting lagi semangat kerjasama itu mencerminkan jiran wilayah boleh menggunakan kekuatan masing-masing membangunkan nilai ekonomi.
Atas sebab itu, katanya, Sarawak memberi penekanan kepada membina ekonomi baharu dengan mengutamakan tenaga dibaharui.
