KUCHING: Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) mengecam sekeras-kerasnya Naib Pengerusi DAP Perak, Dr. Abdul Aziz Bari atas kenyataannya yang boleh dianggap sebagai cubaan untuk melenyap atau memperlekehkan seorang pemimpin Sarawak.
Pergerakan Pemuda dalam kenyataannya sehubungan itu menyuarakan kekecewaan dan kebimbangan yang wajar memandangkan keadaan semasa menyaksikan hak-hak Sarawak sedang dicabar.
Naib Pengerusi DAP Perak, Dr Abdul Aziz Bari dalam kenyataannya meminta Setiausaha Agung Parti PBB, Dato Sri Alexander Nanta Linggi meletak jawatan daripada Kabinet Persekutuan susulan penggunaan istilah ‘perceraian’ daripada Malaysia.
“Kami juga mengecam cubaan oleh pihak media tertentu yang memetik Abdul Aziz sebagai seorang ‘pakar undang-undang perlembagaan’ tanpa mendedahkan afiliasinya sebagai pemimpin DAP dan tindakan itu sebagai tidak jujur dan mengelirukan,” kata kenyataan itu.
Hakikatnya, menurut kenyataan itu lagi, apa yang dikemukakan Abdul Aziz bukan bersifat perlembagaan atau berasas kepakaran undang-undang sebagaliknya jelas bersifat politik dari segi kandungan dan niat.
Pergerakan itu turut mempersoalkan kenyataan Abdul Aziz yang menyatakan Nanta ‘terikat dengan tanggungjawab Kabinet dan harus menyimpan sentimen sedemikian untuk diri’.
“Maka, kami turut mempersoalkan sama ada Abdul Aziz juga terikat dengan tanggungjawab parti untuk menafikan atau mencairkan hak dan suara Sarawak. Jika itu keadaannya, maka beliaulah yang sepatutnya menyimpan sentimen tersebut untuk dirinya sendiri.
“Kekecewaan dan kenyataan berterus terang oleh Setiausaha Agung Parti PBB itu menunjukkan kebimbangan Sarawak terhadap layanan yang diterima daripada pihak tertentu yang berhasrat mencabar hak Sarawak. Kenyataan oleh Abdul Aziz merupakan contoh utama punca kepada rasa tidak puas hati ini,” kata kenyataan itu lagi.
Oleh itu, Pergerakan Pemuda menyaran pihak yang menentang tuntutan Sarawak termasuk ‘pakar segera’ agar mengkaji asas perundangan tuntutan itu dengan lebih mendalam sebelum membuat kesimpulan.
Pergerakan PBB sehubungan itu berkata, tuntutan, perjuangan dan kebimbangan Sarawak adalah berasaskan prinsip undang-undang dan fakta, selaras undang-undang sedia ada.
“Maka kami (Pemuda) akan terus berdiri teguh dalam solidariti bersama Premier Sarawak dan Setiausaha Agung Parti PBB dalam mempertahankan hak Sarawak berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) 1962, Perlembagaan Persekutuan serta Perlembagaan Sarawak,” kata kenyataan itu.
