SIMANGGANG: Ketua Cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor mempengerusikan Mesyuarat PBB Cawangan N.28 Lingga Bil. 1/2026 yang berlangsung di sini, semalam.
Mesyuarat tersebut dihadiri barisan kepimpinan cawangan dan memberi tumpuan kepada perbincangan hala tuju strategik parti dalam mendepani cabaran politik serta sosial semasa.
Fokus utama mesyuarat tertumpu kepada perkara-perkara berbangkit selain penyelarasan perancangan dan pelaksanaan aktiviti sepanjang tahun 2026.
Dalam ucapannya, Dayang Noorazah menegaskan bahawa perancangan yang rapi merupakan kunci utama bagi memastikan setiap program yang dirangka dapat dilaksanakan dengan berkesan demi manfaat ahli parti dan komuniti setempat.
Beliau turut menggesa ahli parti agar terus mengekalkan semangat juang yang tinggi dalam membawa perubahan positif khususnya di kawasan Lingga.
Menurutnya, komitmen padu daripada setiap peringkat kepimpinan merupakan nadi kekuatan Parti PBB dalam mempertahankan kestabilan serta kemajuan yang telah dikecapi selama ini.
Beliau juga menekankan kepentingan memastikan kesinambungan perjuangan parti sentiasa relevan dengan keperluan dan cabaran semasa.
Sehubungan itu, beliau menggesa setiap ahli agar tidak hanya memberi tumpuan kepada pengurusan dalaman, sebaliknya bersikap lebih proaktif dalam memperkukuhkan solidariti antara ahli bagi memastikan PBB kekal sebagai wadah perjuangan bumiputera yang disegani.
Selain itu, barisan kepimpinan turut diingatkan agar sentiasa turun padang bagi mendengar dan memahami suara rakyat di peringkat akar umbi.
