Pertandingan memancing bantu promosikan Belawai destinasi pelancongan rekreasi

BELAWAI: Peserta dari Sibu, Wong Hwang Soon muncul juara selepas berjaya menaikkan ikan belukang seberat 760 gram, membawa pulang hadiah wang tunai RM15,000.

Tempat kedua dimenangi Mohammad Azri yang menerima hadiah wang tunai RM5,000, manakala Anuar Mohd Desa menduduki tempat ketiga dengan hadiah wang tunai RM3,000.

Pertandingan yang berlangsung di kawasan pesisir Pantai Belawai itu berjaya menarik penyertaan seramai 278 pemancing dari pelbagai kawasan.

Ahli Parlimen Tanjong Manis, Dato Ir. Yusuf Abd Wahab menyempurnakan pertandingan berkenaan, semalam.

Berucap pada majlis itu, beliau berkata, penganjuran program seumpama tersebut bukan sahaja menjadi platform rekreasi sihat, malah mampu mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat serta merangsang ekonomi tempatan.

Menurutnya, aktiviti memancing bukan sekadar hobi atau usaha mendapatkan hasil tangkapan, tetapi turut membentuk nilai kesabaran, ketenangan jiwa dan strategi dalam kalangan pemancing.

“Program seperti ini juga mampu mempromosikan Belawai sebagai destinasi pelancongan rekreasi di samping memberi limpahan manfaat kepada peniaga kecil tempatan seperti pengusaha kedai makan, gerai kecil, penjual umpan dan pengusaha inap desa,” katanya.

Beliau turut mengingatkan peserta supaya sentiasa mengutamakan aspek keselamatan sepanjang aktiviti memancing termasuk berwaspada terhadap kemungkinan kehadiran haiwan liar seperti buaya di kawasan perairan.

“Selain itu, para peserta turut diseru menjaga kebersihan kawasan pantai dengan tidak meninggalkan sampah seperti tali tangsi, botol minuman dan sisa umpan bagi memastikan kelestarian alam sekitar terus terpelihara,” ujarnya.