KUCHING: Selepas menabur bakti selama 19 tahun lapan bulan bersama Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Awang Bujang Awang Antek menamatkan perkhidmatannya sebagai Setiausaha Eksekutif parti itu berkuat kuasa 31 Mac lalu.
Awang Bujang,72, mula berkhidmat sebagai Setiausaha Eksekutif Parti PBB pada 24 Julai 2006.
Kini, jawatan tersebut diambil alih Datu Takun Sunggah.
Sepanjang berkhidmat sebagai Setiausaha Eksekutif Parti PBB, Awang Bujang turut memikul tanggungjawab sebagai Setiausaha Eksekutif bagi Barisan Nasional (sebelum ini) serta Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Menyingkap pelantikan sebagai Setiausaha Eksekutif parti ketika itu, Awang Bujang, berkata ia menandakan permulaan satu perjalanan perkhidmatan yang panjang dan penuh makna.
“Sepanjang tempoh tersebut, kontrak perkhidmatan saya disambung sebanyak 10 kali, menjadikan keseluruhan tempoh perkhidmatan selama 19 tahun lapan bulan.
“Kontrak saya secara rasmi berakhir pada 31 Mac 2026.
“Saya merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada pucuk pimpinan Parti PBB khususnya dan GPS amnya pimpinan Premier Sarawak merangkap Yang di-Pertua Parti, YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr)Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg atas kepercayaan sepanjang menerajui Ibu Pejabat Parti PBB.
“Saya turut menzahirkan terima kasih kepada semua ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Parti PBB, semua Ahli MKT Pergerakan Wanita, Pemuda dan Belia atas kerjasama dan sokongan selama ini,” katanya.
Beliau turut merakam penghargaan dan terima kasih kepada pucuk pimpinan terdahulu, Allahyarham Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem.
“Terima kasih juga kepada kakitangan Ibu Pejabat Parti PBB yang sentiasa memberi kerjasama dalam segala tugas dan mereka banyak membantu mencapai kejayaan.
“Tidak lupa juga saya mengucapkan terima kasih kepada semua ahli parti di seluruh 82 Cawangan di Sarawak atas kerjasama yang baik,” katanya.
Sementara itu, Awang Bujang menerima Surat Penghargaan Dan Terima Kasih” daripada Premier Sarawak atas segala jasa dan pengorbanan sepanjang tempoh perkhidmatan.
Surat penghargaan itu disampaikan Premier Sarawak semasa Mesyuarat MKT Parti PBB di Ibu Pejabat Parti itu, Sabtu lalu.
“Alhamdulillah…setelah bersara dari perkhidmatan, saya menerima Surat Penghargaan Dan Terima Kasih daripada YAB Yang di-Pertua Parti PBB dan Premier Sarawak atas segala jasa dan pengorbanan sepanjang tempoh perkhidmatan saya selama 19 tahun lapan bulan dan di bawah tiga orang Yang di-Pertua Parti PBB/Ketua Menteri/Premier Sarawak,” katanya.
