PETROS ingatkan langkah keselamatan LPG sempena musim perayaan

KUCHING: Menjelang musim perayaan, Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) menggesa pengguna supaya sentiasa berhati-hati ketika menggunakan gas petroleum cecair (LPG) bagi mengelakkan kemalangan di rumah.

PETROS dalam kenyataan menekankan bahawa amalan keselamatan mudah yang dilakukan secara konsisten dapat mengurangkan risiko kebocoran, kebakaran dan insiden tidak dijangka.

“Pengguna disaran memeriksa hos dan pengawal tekanan (regulator) LPG secara berkala serta hanya menggunakan peralatan yang diperakui SIRIM bagi memastikan keselamatan,” kata kenyataan itu.

Silinder LPG perlu disimpan di kawasan berventilasi baik, manakala dapur harus mempunyai pengaliran udara mencukupi.

Jika boleh tambah PETROS dalam kenyataan itu, dapur disarankan sedikit lebih tinggi daripada silinder dan mengekalkan jarak 1–1.5 meter dari sumber api.

Sekiranya berlaku kebocoran, segera padam semua api, elak menghidupkan peralatan elektrik, buka pintu dan tingkap untuk pengudaraan, dan pindahkan silinder ke kawasan terbuka jika selamat.

“Gas LPG cenderung berkumpul di ruang rendah, meningkatkan risiko kebakaran.

“Penggunaan air sabun disyorkan untuk mengesan kebocoran pada sambungan peralatan; kehadiran buih menandakan gas bocor dan peralatan perlu diganti,” jelas kenyataan itu.

PETROS menegaskan bahawa pemeriksaan berkala dan pematuhan langkah keselamatan adalah kunci untuk melindungi pengguna dan keluarga di rumah.