MOF, Sarawak bincang formula terbaik pemberian khas

KUCHING: Kementerian Kewangan ( MOF) dan Sarawak akan membincangkan formula terbaik penentuan amaun pemberian khas kepada Sarawak di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof berkata, perbincangan itu dilihat mampu memperkukuhkan kedudukan kewangan Sarawak dan Sabah selaras semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Fadillah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) berkata, sekarang MOF sudah mengadakan perbincangan dengan Sabah manakala Sarawak seterusnya melalui Pejabat Kewangan Negeri.

Namun katanya, belum ada maklumat lanjut berhubung perkara tersebut.

“Kita berharap dengan perjumpaan tersebut, kita dapat memuktamadkan apakah formula terbaik untuk menjaga kepentingan negara dan juga apa kepentingan yang termaktub dalam perlembagaan yang mana Sabah dan Sarawak mempunyai hak istimewa dari segi peruntukan,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya berkata demikian ketika mengulas rundingan formula agihan peruntukan di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan selepas Majlis Penyerahan Geran Tahunan Masjid dan Surau Kawasan Petra Jaya di Masjid Darul Ibadah, Kampung Semariang Lama, di sini malam tadi.

Penerima terdiri daripada 30 masjid dan 60 surau membabitkan jumlah keseluruhan RM330,000.

Fadillah bagaimanapun berkata, setakat ini belum ada formula yang dipersetujui dan sebarang keputusan hanya akan dimuktamadkan selepas dibentangkan kepada jawatankuasa teknikal yang dipengerusikannya.

Baru-baru ini, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Sarawak mencadangkan supaya formula baharu bagi penentuan amaun pemberian khas di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan berpandukan kepada jumlah pendapatan yang diperoleh negeri sekitar 20 peratus termasuk hasil cukai.