KUCHING: Kerajaan Sarawak menyokong keputusan Kementerian Pendidikan Malaysia membolehkan graduan bukan pendidikan menyertai profesion guru bagi menangani kekurangan tenaga pengajar.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Roland Sagah Wee Inn berkata, inisiatif ini penting bagi memperluas peluang pekerjaan kepada lepasan universiti yang berkaitan bidang pengajaran tetapi tiada kelayakan pendidikan formal.
“Pemilihan calon akan dikawal oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) mengikut dasar kementerian dan bilangan permohonan yang diterima.
“Keperluan sebenar guru di negeri ini akan ditentukan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sarawak berdasarkan kekosongan akibat persaraan, pertukaran atau peletakan jawatan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan upacara menaikkan bendera Ibu Pertiwi di Datawan Pertiwi, hari ini.
Kementerian Pendidikan Malayasia (KPM) merancang mengambil seramai 20,000 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Gred DG9 secara Contract of Service (CoS) bagi memenuhi keperluan di seluruh negara.
Calon yang berjaya akan menjalani latihan ikhtisas di Institut Pendidikan Guru mengikut bidang masing-masing untuk mengekalkan standard profesional.
Langkah ini sejajar dengan pelaksanaan Rancangan Pendidikan Malaysia 2026–2035 dan persediaan murid berumur enam tahun memasuki Tahun Satu secara sukarela mulai tahun depan.
