KUCHING: Rundingan mengembalikan hak Sarawak dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) di antara Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan menunjukkan perkembangan positif.
Timbalan Menteri Utiliti (Sarawak Energy Berhad dan PETROS) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok, Datuk Ibrahim Baki berkata ini termasuk pemberian khas kepada Sarawak di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.
“Terdapat perkembangan positif termasuk berkaitan Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyantuni masyarakat di Thompson Corner sempena Tahun Baharu Cina anjuran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Jalan Green Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Satok dengan kerjasama Pusat Khidmat N8 Satok, di sini, hari ini.
Selain itu, berhubung isu minyak dan gas, Ibrahim Baki menjelaskan perbincangan masih berlangsung antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan, termasuk melibatkan Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) dan Petroliam Nasional Berhad.
“Namun pendirian kita jelas iaitu untuk mengekalkan undang-undang sedia ada dan menghormati proses perundangan,” katanya.
Beliau juga menegaskan, mana-mana pihak mempunyai hak mendapatkan penjelasan di mahkamah dan kerajaan negeri akan menghormati sebarang keputusan mahkamah sekiranya perkara tersebut perlu diputuskan melalui saluran itu.
“Namun kita berharap perkara ini dapat diselesaikan melalui persefahaman bersama tanpa perlu ke peringkat penghakiman,” tambah beliau.
